MUAR, 16 Nov – Rampas Dadah Hampir……… Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah berjumlah kira-kira RM172 juta bagi tempoh Januari hingga 13 November lalu.

Polis turut menahan 177,755 individu yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta 20 makmal dadah dibongkar pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kejayaan itu hasil komitmen PDRM dalam usaha memerangi dadah secara berterusan.

“Daripada jumlah itu, 18,830 suspek membabitkan kesalahan membekal dadah, 44,962 suspek memiliki dadah dan 113,963 individu lagi didapati positif dalam ujian saringan air kencing dengan 904 suspek bawah umur.

“Sepanjang tempoh itu, polis turut merampas 25 jenis dadah dengan nilai rampasan sebanyak RM172.80 juta, selain menyita harta sebanyak RM94.13 juta dengan harta yang dilucutkan hak bernilai RM7.70 juta.

“Turut dirampas 115 pelbagai jenis senjata dan 1,262 peluru,” katanya.

Mokhtar ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Saya Benci Dadah – Peranan Belia dan Masyarakat Dalam Memerangi Dadah di Sekolah Tinggi Chung Hwa, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, selain itu polis turut berdepan dengan cabaran jenis narkotik baharu yang dikenali sebagai New Psychoactive Substance atau NPS.

Katanya, NPS membabitkan campuran bahan yang tergolong mengikut Akta Racun Negara dan ia masih belum diwartakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dadah jenis NPS ini membabitkan pelbagai jenis campuran bahan bagi menghasilkan dadah yang mengkhayalkan. Sebagai contoh, rakyat tidak dikira melakukan kesalahan jika menanam pokok ketum, namun ia hanya akan menjadi kesalahan apabila ia digunakan.

“Bagaimanapun, PDRM akan terus memantau apa sahaja jenis penyalahgunaan dadah kerana ia mampu mengancam negara,” katanya. – WD MY