AYER KEROH, 26 Mac – Sahkan….. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan 12 individu bagi membantu siasatan kehilangan 26 laras senapang patah milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Selama, Perak, awal bulan ini.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, pihaknya menemui 11 senapang terbabit selepas semakan semula manakala selebihnya belum diserah semula.

“Mereka yang ditahan adalah seorang pegawai, dipercayai individu yang menjual senjata api berkenaan manakala selebihnya adalah pembeli yang turut dipercayai membabitkan anggota RELA.

“Pihak polis akan meneruskan siasatan berhubung kes ini dan kami tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa tangkapan terhadap individu yang terbabit di sekitar Selangor.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan sesiapa yang ada membeli senjata terbabit, sila tampil menyerah diri. Polis sudah kenal pasti mereka, jangan sampai polis tangkap mereka,” katanya selepas menghadiri perasmian Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Kompleks KDN negeri, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Akta Senjata Api 1971.

Beliau mengulas mengenai penahanan beberapa individu di Kedah dan Perak selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik Pasukan RELA daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Sementara itu, Khalid berkata, polis juga akan melakukan pemeriksaan dan pengauditan ke atas semua agensi kerajaan yang diberi lesen menggunakan senjata api bagi mengelakkan mereka menggunakan senjata yang tidak berdaftar.

“Polis menolak dakwaan senjata api terbabit dijual ke luar negara,” katanya.