KUALA LUMPUR, 2 Mac – JAMINAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa berusaha memerangi gejala bookie dan rasuah dalam sukan.

Ahmad Zahid menegaskan, ia selaras dengan usaha memastikan kejayaan dalam arena sukan negara lebih adil bukan saja kepada atlet, tetapi juga peminat sukan.

“Sukan sering dicalar pelbagai perkara yang bak kata ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.

“Saya berjanji kepada diri saya, PDRM akan berada di barisan hadapan sekiranya ada yang menjual perlawanan terutamanya bookie yang campur tangan dan mengaut keuntungan bagi poket sendiri,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah SAM-100Plus 2017 malam tadi.

Dunia sukan tanah air baru-baru ini tercalar apabila dua pemain badminton profesional negara dipalit isu menjual permainan.

Pada masa sama Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata atlet sudah berusaha gigih bagi memburu kejayaan pada setiap lapangan yang disertai.

“Jaguh sukan lahir bukan sebab keturunan, ketokohan muncul dengan latihan berterusan. Jadi, ia perlu direncana secara berstruktur, tentu Kementerian Belia dan Sukan akan diberi peruntukan lebih besar kerana sukan bukan hanya untuk suka-suka,” katanya. – WD MY