SHAH ALAM, 3 Mei – Siasat….. Pihak Polis melakukan siasatan menyeluruh kes dua lelaki warga Turki yang didakwa dilarikan sekumpulan individu di Petaling Jaya, semalam jelas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes dan meminta keluarga mangsa memberi ruang siasatan dijalankan.

“Kita masih menunggu laporan lanjut dan berharap keluarga mangsa tidak menghebahkannya bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

“Rakaman CCTV itu diperiksa dan jika benar ia kes culik, kita harap laporan sahih diberikan.

“Polis juga sedang cuba mendapatkan isteri mangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program lawatan sempena Hari Polis ke-210 di Hospital Shah Alam di sini, hari ini.

Difahamkan, dua warga Turki yang tinggal di Malaysia itu mendakwa dilarikan lima lelaki di kawasan parkir di Petaling Jaya, kira jam 4.30 petang, semalam.

Turgay Karaman, 43, yang juga guru sebuah sekolah swasta dan ahli perniagaan, Ihsan Aslan, mendakwa dilarikan menggunakan dua kereta.

Rakaman CCTV yang viral di laman sosial menunjukkan lima lelaki menghalang Turgay dan memaksanya memasuki sebuah kereta.

Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya sudah menemui keluarga militan Malaysia berpangkalan di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, di Melaka.

Wanndy dilaporkan terkorban dalam serangan dron di Ma’dan, Syria.

“Kita meragui laporan itu dan masih menyemak kesahihan kematian Wanndy.

“Polis tidak menolak kemungkinan ada sebab lain yang mendorong dakwaan kematian ketua militan berkenaan,” katanya. – WD MY