KUALA LUMPUR, 9 Jun – LAPOR….. Pihak polis menegur tindakan orang ramai yang menyebarkan laporan atau maklumat palsu khususnya isu berkaitan Raja dan kerajaan yang memerintah hari ini boleh mengganggu-gugat keamanan.

Penularan berita palsu tentang Institusi Raja-Raja dan kerajaan boleh juga boleh menimbulkan keadaan tidak aman dalam kalangan masyarakat akibat laporan tidak tepat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata tindakan sedemikian adalah tidak sihat untuk masyarakat dan boleh menyemai sikap kebencian.

“Saya ingin tegaskan supaya mana-mana pihak untuk tidak cuba menyebarkan berita palsu atau tidak pasti kesahihannya yang mereka terima menerusi apa sahaja medium media sosial.

“Ini kerana kita (Polis Kuala Lumpur) mahu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negara khususnya di Kuala Lumpur sentiasa terpelihara,” katanya dalam sidang media sempena Op Selamat 13/2018, di Jalan Esfahan, semalam.

Beliau berkata tindakan segelintir pihak menyebarkan laporan tidak benar sejak akhir-akhir ini boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Justeru saya mengambil kesempatan dan ingin menasihatkan semua pihak untuk tidak menyebabkan perpecahan dikalangan masyarakat di negara ini.

“Pihak Polis Kontinjen Kuala Lumpur, akan terus memastikan keamanan dan kemakmuran dikalangan masyarakat akan sentiasa terpelihara,” katanya. – WD MY