KUALA LUMPUR, 8 Julai – PDRM Nafi Keluarkan…. Bukit Aman hari ini menafikan mengeluarkan amaran kepada orang awam berhubung larangan berada di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara yang kononnya menjadi sasaran serangan bom pengganas militan Kumpulan Negara Islam (IS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menerusi akaun Twitter rasminya hari ini, berkata amaran berkenaan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“This alert is not from @PDRMsia (Amaran ini bukan daripada @PDRMSia),” katanya.

Khalid turut memuat naik salinan mesej berkenaan yang dikesan mula tersebar luas di media sosial hari ini.

Mesej dalam bahasa Inggeris itu meminta rakyat Malaysia menjauhi beberapa lokasi iaitu Publika, Bangsar, The Curve, Mid Valley, kawasan ibu negara, Menara Kuala Lumpur, Sri Hartamas, Bukit Bintang dan stesen transit aliran ringan (LRT).

“Kerajaan Malaysia mengesahkan kawasan berkenaan akan menjadi lokasi serangan ISIS (IS). Mohon anda kongsi mesej ini dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

“Sila jauhi kawasan KLCC, Pavilion, kawasan Beach Club, Jalan Alor dan Jalan Petaling. Ia menjadi sasaran serangan bom seterusnya berdasarkan risikan bahagian Cawangan Khas,” kata isi kandungan mesej itu. – WD MY

LEAVE A REPLY