MUAR, 12 Feb – PDRM melalui Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menahan 36 pelayan pelanggan (GRO) warga asing serta kaki judi berusia antara 22 tahun dan 51 tahun dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dan kafe, Jalan Jeram Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Muar itu, polis turut merampas 832 keping daun terup, wang tunai RM68,328 dan 1,254 keping cip pertaruhan, yang bernilai daripada RM5 hingga RM100,000.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata premis yang menjalankan aktiviti judi dan hiburan itu dikenal pasti beroperasi tanpa lesen.

“Di tingkat dua pusat hiburan itu menjalankan aktiviti hiburan karaoke dan menyediakan GRO, termasuk bilik untuk perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM180.

“Seramai 13 GRO yang ditahan itu adalah warga Vietnam,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, pusat hiburan itu turut membuat iklan mengenai kegiatan mereka menerusi aplikasi wechat.

Katanya, dalam operasi, polis turut merampas pelbagai buku catatan dan lesen perniagaan, resit jualan, 55 keping kondom serta pelbagai peralatan hiburan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY