KUALA LUMPUR, 28 Julai – Tahan….. Lima termasuk seorang wanita ahli sindiket penipuan pinjaman yang tidak wujud ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Semua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Residensi Jalil, dekat Bukit Jalil, di sini, pada jam 1.15 pagi, hasil maklumat dan risikan susulan 35 laporan di seluruh negara oleh mangsa sindiket berkenaan yang membabitkan kerugian RM266,650.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah, berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan sejak awal tahun ini dengan menjadikan unit kondominium itu sebagai pusat operasi.

Katanya, selain tangkapan, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 14 unit telefon bimbit; lima keping kad ATM; 17 buah buku catatan pinjaman; masing-masing satu pasport, modem dan beg silang jenama Coach, wang tunai RM7,655 serta sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz.

“Sindiket mengiklankan perkhidmatan mereka menerusi Facebook dengan mengenakan syarat mudah termasuk untuk golongan yang dalam senarai hitam bank. Segala urusan penyerahan dokumen dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Individu yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman ini akan menelefon nombor tertera pada iklan dan diminta oleh sindiket untuk membuat transaksi pembayaran kononnya bagi tujuan pemprosesan dokumen sebelum pinjaman diluluskan.

“Lazimnya, mangsa perlu membayar 10 peratus daripada jumlah pinjaman. Selepas transaksi berjaya, suspek akan menyekat nombor telefon mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohd Luthfi berkata, mangsa sindiket terdiri daripada pelbagai latar belakang yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi tujuan peribadi.

Beliau berkata, daripada 35 laporan dibuat, sembilan membabitkan mangsa dari Lembah Klang.

“Semua suspek berusia lingkungan 20-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berdasarkan statistik, jumlah kes penipuan membabitkan pinjaman tidak wujud meningkat apabila 137 kes dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan nilai kerugian RM1.3 juta, berbanding 31 kes dengan jumlah kerugian RM694,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sindiket ini bukan saja aktif mengiklankan perkhidmatan di Facebook, tetapi ada juga di WhatsApp, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan dalam akhbar.

“Justeru, saya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan melaporkannya kepada polis jika mengesyaki sebarang tawaran mencurigakan,” katanya. – WD MY