KUALA LUMPUR, 6 APRIL – TUKAR…Polis pengiring kepada Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri adalah antara pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kenaikan pangkat terbaru pasukan itu.

Mereka ialah ACP Yahaya Othman yang akan memangku pangkat SAC dan Supt Zaidi Ali Ibrahim memangku pangkat ACP.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata semua kenaikan pangkat dan pertukaran dikeluarkan PDRM hari ini berkuat kuasa mulai 7 Mei.

Selain kedua-dua juruiring itu, turut dinaikkan pangkat dan terlibat dalam pertukaran jawatan ialah Ketua Polis Daerah Tuaran, Sabah, DSP Dzulbaharin Ismail yang ditukarkan sebagai Ketua Polis Daerah Kinabatangan dengan memangku pangkat Supt.

Pegawai Staf ll (Atur Urus) Tadbir/Logistik Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Jabatan Perdana Menteri (JPM), DSP Kasim Muda pula dinaikkan pangkat sebagai pemangku Supt dan menjadi Ketua Polis Daerah Beluran, Sabah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Kinabalu, DSP Mohd Hamizi Halim ditukarkan menjadi Ketua Polis Daerah Tuaran, Sabah dengan memakai pangkat yang sama.

Selain itu, Timbalan Ketua Staff Operasi Darat Esscom JPM, ACP Noor Hisam Nordin, bertukar ke jawatan sebagai Timbalan Ketua Pasukan Khas Esscom JPM.

Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Sabah pula bertukar jawatan sebagai Timbalan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal Esscom JPM dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Polis Daerah Beluran, Sabah Supt R Shivananthan pula bertukar ke jawatan sebagai Timbalan Ketua Staff II Pusat Esscom JPM dengan memangku pangkat ACP.

Pegawai Turus Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang Supt Razmi Mohd Gunnos pula bertukar ke jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu dengan memangku pangkat ACP.

Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah yang ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman. – WD MY