KOTA BHARU, 9 Okt – Meninggal Dunia….. Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Rantau Panjang yang dirempuh kenderaan dipercayai milik tonto di Kampung Banggol pagi kelmarin, meninggal dunia malam tadi.

Mangsa, Anisah Ali, 54, yang juga pegawai kanan bahagian penguat kuasa, menghembuskan nafas terakhir jam 11 malam tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas koma sejak kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata dalam kejadian jam 1.20 pagi Jumaat, mangsa bersama dua rakan sekerja melakukan rondaan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max, sebelum mengesan aktiviti penyeludupan.

“Pegawai kastam berkenaan cuba mengejar kenderaan penyeludup jenis pacuan empat roda, sebelum diekori dan dirempuh dari belakang oleh tonto yang menggunakan kenderaan jenis Isuzu Trooper, menyebabkan kenderaan Kastam berpusing beberapa kali.

“Kenderaan mangsa dirempuh kali kedua menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga mangsa cedera akibat rempuhan kuat itu sebelum Anisah dirujuk ke HRPZ II akibat kecederaan parah.

“Mangsa meninggal dunia malam tadi akibat kecederaan dalaman dan siasatan awal mendapati kenderaan tonto terbabit sudah diubah suai dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 279 dan 304 (a),” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY