KOTA KINABALU, 17 OKT – BANTU…. Seorang pegawai penjara dan tujuh warden ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang banduan lelaki baru-baru ini.

Lapan individu berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan tengah hari semalam selepas polis menerima laporan bedah siasat yang mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata kejadian berlaku pada 4 Oktober lalu membabitkan seorang banduan yang dipenjarakan atas kesalahan dadah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1(QEH1).

“Banduan yang berusia 36 tahun itu tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor.

“Pada mulanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut bagaimanapun selepas bedah siasat dilakukan, terdapat kecederaan di kepala mangsa sebagai punca kematiannya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Habibi berkata, pihaknya percaya kejadian itu adalah kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan, mendapati di penjara itu kita percaya orang yang berada di tempat kejadian mengetahui perkara itu iaitu seramai lapan orang iaitu seorang pegawai penjara dan selebihnya adalah warden penjara.

“Mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan mereka memberi kerjasama sebelum ditahan semalam. Mereka direman selama tujuh hari bermula pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, ditanya berhubung kecederaan mangsa akibat dipukul atau sebaliknya, beliau berkata ia masih dalam proses siasatan.

“Sama ada dipukul atau terhentak, ia masih dalam siasatan,” katanya. – WD MY