KUALA LUMPUR, 26 Nov – Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menafikan dakwaan adik Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais, Charles Suresh Morais bahawa kematian abangnya ada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamed Apandi sekali lagi menegaskan bahawa Kevin Morais tidak terbabit dalam siasatan 1MDB.

“Dakwaan Suresh Morais itu adalah sangat melampau dan tidak masuk akal. Malah apabila beliau (Kevin Morais) dipindahkan kembali ke Pejabat Peguam Negara pada awal Julai 2004, belum ada laporan berhubung 1MDB,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Nanning, China.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan Charles Morais yang terkandung dalam akuan bersumpah dalam permohonan beliau supaya mayat abangnya terus disimpan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehingga bedah siasat kali kedua dijalankan.

Mohamed Apandi berkata, apabila Suresh Morais membayangkan bahawa tertuduh yang didakwa di mahkamah tidak terbabit dalam pembunuhan Kevin Morais, beliau dilihat cuba mencampuri perbicaraan mahkamah.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY