KUALA LUMPUR, 31 Dis – Jabatan Peguam Negara telah menerima
dokumen berhubung siasatan terhadap bekas eksekutif Petrosaudi International
Xavier Andre Justo, daripada Jabatan Peguam Thailand, semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dokumen itu diserahkan
kepada Jabatan Peguam Negara untuk disemak dahulu sebelum ia diserahkan kepada
polis untuk siasatan lanjut.

“Segala dokumen yang polis mohon sebelum ini berkaitan siasatan terhadap
Justo telah diberi oleh pihak berkuasa Thailand termasuklah dokumen yang
mengandungi transkrip yang Justo serah kepada Claire Brown.

“Bagaimanapun, bagi kami masa untuk meneliti dan menyiasat kesemua dokumen
berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas
Jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di sini, hari
ini.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status siasatan polis berhubung 1
Malaysia Development Berhad (1MDB), Khalid berkata sisatan 1MDB hanya akan
dijalankan selepas Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
(PAC) selesai siasatan mereka.

“Untuk siasatan polis yang pertama kami akan siasat berkenaan pembelian
tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX), kebocoran maklumat perbankan dan
lain-lain siasatan berkaitan 1MDB.

“Namun, polis akan tetap menjalankan siasatan 1MDB tetapi selepas Jabatan
Audit dan PAC mengeluarkan laporan mereka dan polis tidak mahu siasatan
bertindih-tindih kerana kita semua siasat benda yang sama,” katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang sebelum ini
Pesuruhjaya Polis Sabah dilantik sebagai Pengarah JIPS Bukit Aman yang
baharu bagi menggantikan Datuk Jamshah Mustapa yang bersara. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY