KUALA LUMPUR, 26 Mei – Nafikan….. Pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan beberapa laporan media asing yang mendakwa kerajaan Malaysia kononnya mendaftarkan 45 Group menerusi syarikat Godfrey Group Ltd sebagai agen ‘Republik Malaysia’ bagi tujuan melobi untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

45 Group ditubuhkan oleh bekas Setiausaha Akhbar Presiden AS, Donald Trump iaitu Healy Baumgardner-Nardone.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, menegaskan kerajaan dan PMO tidak mengeluarkan sebarang arahan, melantik atau mempunyai kontrak dengan 45 Group, syarikat Godfrey Group Ltd atau Baumgardner-Nardone.

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklum balas rakan dari seluruh dunia yang memberi gambaran sebenar mengenai kejayaan mesra ekonomi Malaysia selain terbuka kepada sektor perdagangan serta pelaburan.

“Ia termasuk memberi gambaran Malaysia adalah sebuah negara majoriti Islam yang mengamalkan konsep kesederhanaan.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Malaysia adalah rakan yang tegas dalam memerangi keganasan dan ekstremisme,” katanya. – WD MY