SEGAMAT, 11 Feb –  GUNA…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bagi pembinaan dan penurapan semula jalan raya di negara ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 440,000 pekebun kecil getah.

Beliau berkata penggunaan teknologi baharu turapan CMA yang berasaskan getah itu dilihat mampu meningkatkan penggunaan getah negara terutama dalam sektor pembinaan itu dapat meningkatkan harga komoditi tersebut.

“Manfaat (bakal diperoleh) pekebun kecil getah apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menggunakan bahan mentah itu (CMA) untuk membina dan menurap jalan raya di seluruh negara nanti.

“Ia dapat membantu pekebun kecil getah di seluruh negara apabila permintaan terhadap getah akan meningkat,” katanya ketika berucap melancarkan projek membina semula jalan persekutuaan Yong Peng-Segamat di Tenang hari ini.

Ahmad Zahid berkata teknologi CMA yang menggunakan bahan getah asli itu akan mengurangkan keretakan jalan raya seterusnya dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.

“Saya mengesyorkan supaya teknologi CMA ini diguna pakai secara meluas di seluruh negara. Saya menawarkan daerah Bagan Datuk (di Perak) untuk projek CMA secara berskala besar bermula 2018,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 95 peratus daripada 720,000 tan getah asli yang dihasilkan di negara ini dibekalkan oleh pekebun kecil getah di seluruh negara dan kerajaan meletakkan pembelaan nasib pekebun kecil getah sebagai fokus utama.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata rakyat perlu menolak pembangkang yang bersifat destruktif kerana ‘perangai’ itu bakal memberi impak negatif terhadap rakyat serta negara.

“Pembangkang bersifat konstruktif mampu memberi cadangan bagi menambah baik negara, namun di negara ini pembangkang bersifat destruktif menolak semua idea bernas daripada kerajaan. Jangan izinkan pembangkang bertapak,” katanya.

Beliau berkata berbeza dengan pembangkang bersifat destruktif itu, Barisan Nasional meletakkan usaha membela rakyat secara berterusan dan bukan bermusim. – WD MY