TELUK INTAN, 17 Dis – Wajibkan…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewajibkan setiap anggota dan pegawainya melakukan pemeriksaan saringan kesihatan setahun sekali.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebelum ini pegawai dan anggota hanya digalakkan menjalani pemeriksaan setahun sekali.

“Kini saringan kesihatan digalakkan untuk dilakukan setahun sekali dan arahan saya mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang baharu bukan hanya digalakkan tetapi diwajibkan setahun sekali tetapi digalakkan enam bulan sekali.

“Ertinya, pemeriksaan kesihatan itu kita akan meminta supaya pekeliling baharu Ketua Polis Negara iaitu mewajibkan pemeriksaan setahun sekali tetapi menggalakkan pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Subsidi dan Bantuan Saringan Kesihatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Seluruh Negara di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, arahan itu bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental mereka berada pada tahap terbaik untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada negara. – WD MY