KUALA LUMPUR, 23 MEI – CEDERA….. Dua pekerja pembinaan cedera, manakala seorang lagi terperangkap selepas sebahagian daripada struktur bangunan parkir bertingkat Stesen LRT Putra Terminal Gombak, Taman Melati, di sini runtuh awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menerima panggilan kecemasan dan menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju dan Gombak Selatan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

Operasi turut dibantu anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komander Operasi, Penolong Pesuruhjaya Bomba M Murugiah berkata terdapat tiga mangsa cedera tdalam kejadian itu dan dua daripadanya sudah pun dihantar ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa masih lagi terperangkap di bawah runtuhan dan keadaannya belum dapat dipastikan.

“Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu mengesan sekiranya masih terdapat mangsa lain yang tertimbus di bawah runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, kerja-kerja mengalihkan runtuhan konkrit dan operasi mencari serta menyelamat masih sedang giat dijalankan.

Kejadian membabitkan bangunan dalam pembinaan dianggarkan berkeluasan 2500 kaki persegi (232 meter persegi). -WD MY