SUBANG JAYA. 24 Nov – TIPU….. Pekerja hotel berputih mata selepas kerugian RM19,600 ditipu lelaki yang baru sebulan dikenalinya di Facebook.

Lebih memburukkan keadaan, sejumlah RM12,000 daripadanya dipinjam daripada peminjam wang berlesen, bertujuan menolong lelaki itu untuk melepaskan ‘wang’ yang kononnya disekat pihak kastam di Singapura.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata ketika awal perkenalan, mangsa berusia 30-an itu mendakwa suspek memperkenalkan diri sebagai seorang askar dan baru sebulan bertugas di Australia.

Tidak lama selepas itu, suspek menyatakan hasrat bertemu mangsa di Subang Jaya.

“Bagaimanapun, suspek mendakwa wang AS$280,000 (RM1.15juta) yang dibawa bersama ditahan kastam ketika berada di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa dan meminta bantuan wanita itu membuat bayaran setem duti dan caj pelepasan bagi wang yang ditahan,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, mangsa yang berniat membantu membuat pinjaman RM12,000 daripada peminjam wang berlesen sebelum melakukan transaksi RM19,600 ke akaun suspek.

Bagaimanapun, katanya, mangsa menyedari ditipu apabila suspek gagal dihubungi selepas transaksi dilakukan dan membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong, semalam.

“Suspek sedang diburu dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – WD MY