ALOR SETAR, MAC 4 : Nilai ringgit dijangka meningkat melalui pelaburan oleh Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) berjumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Pelaburan itu mampu menyumbang kepada pelaburan langsung asing (FDI) negara, sekali gus membantu meningkatkan nilai ringgit kata perdana menteri

Empat hari lalu, beliau dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, bahawa urusan pelaburan Saudi Aramco selesai dimuktamadkan.

“Mulai 31 Mac nanti dana pelaburan itu akan masuk ke dalam akaun negara kita, bererti kita dapat suntikan dalam ekonomi Malaysia bertambah AS$7 bilion.

“Apabila pelaburan itu masuk dalam sistem kewangan, ia akan dikira sebagai FDI dan tentu ia menaikkan nilai ringgit,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Ekspo Muafakat Kedah (EMK) 2018, di Stadium Darul Aman di sini, semalam.

Menurut beliau, keyakinan dunia terhadap Malaysia di bawah pentadbiran Barisan Nasional semakin meningkat apabila ada banyak syarikat utama di dunia dan rantau ini memilih negara ini sebagai pusat untuk dijadikan pejabat di rantau ASEAN.

Malah baru-baru ini syarikat SK Group dari Korea Selatan, memilih Malaysia sebagai tuan rumah untuk membuka Ibu Pejabat Serantau bagi ASEAN, Asia Barat dan India.

“Ia bukan calang-calang syarikat kerana ia ada teknologi 5G… kita pakai 4G tetapi dia ada 5G yang 20 kali lebih pantas.

“Bayangkan syarikat seperti itu yakin terhadap dasar yang diperjuangkan kerajaan BN dengan memilih Malaysia, ” katanya. – MY WD