KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM11.41 bilion pada suku kedua tahun ini berakhir 30 Jun, 2015.

Ia meningkat sebanyak 9.73 peratus berbanding RM10.40 bilion dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas dalam satu kenyataan hari ini.

Secara kumulatif, bagi setengah tahun pertama 2015, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM22.04 bilion, meningkat 14.60 peratus berbanding RM19.23 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama pada 2014.

Sehingga suku kedua 2015, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM667.21 bilion, meningkat sebanyak RM30.68 bilion untuk tempoh enam bulan pertama 2015, katanya.

Bagi tempoh suku tahun yang dikaji, ekuiti, yang mewakili 43 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, kekal sebagai penyumbang utama pendapatan pelaburan dengan pendapatan sebanyak RM6.97 bilion, atau 61.05 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

Ini merupakan 6.90 peratus lebih tinggi berbanding RM6.52 bilion dicatatkan pada tempoh sama pada 2014.

Pelaburan Pendapatan Tetap, yang mewakili 51 peratus daripada saiz aset pelaburan KWSP, terus menjana aliran pendapatan yang konsisten walaupun menghadapi persekitaran kadar faedah rendah dan pasaran pelaburan yang tidak menentu.

Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia menjana pendapatan sebanyak RM1.79 bilion pada suku kedua 2015, naik 3.98 peratus atau RM68.44 juta, berbanding RM1.72 bilion pada tempoh sama pada 2014.

Pinjaman dan Bon mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM2.02 bilion berbanding RM1.87 bilion pada suku kedua 2014, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang pendapatan sebanyak RM190.89 juta.

Hartanah dan Infrastruktur mewakili tiga peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP setakat Jun 2015.

Pendapatan yang dicatatkan pada suku tahun yang dikaji adalah sebanyak RM444.46 juta berbanding RM184.12 juta pada suku sama pada 2014.

“Walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar, prestasi kami untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini mendapat sokongan kukuh daripada portfolio kami yang pelbagai dan pengukuhan dolar AS yang turut meningkatkan pulangan daripada pelaburan antarabangsa kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan.

Setakat Jun 2015, pelaburan global KWSP mewakili 25 peratus daripada jumlah aset pelaburan dan menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah kumulatif pendapatan pelaburan KWSP bagi tahun semasa.

“Selain dapat mengekalkan momentum prestasi suku tahun pertama, pasaran kewangan ketika ini berhadapan dengan keadaan tidak menentu.

“Jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan pertumbuhan ekonomi China dan negara-negara membangun yang perlahan, mewujudkan kebimbangan,” kata Shahril Ridza.

Beliau berkata ini akan menjadikan usaha untuk mengekalkan momentum prestasi sedia ada lebih mencabar untuk baki tempoh tahun 2015.-Sharini Abdulah (WD MY)

Menurut Shahril, keadaan pasaran semasa memberi ruang kepada KWSP untuk mengimbangi semula portfolionya bagi tujuan kepelbagaian pulangan dan risiko yang berterusan untuk tempoh jangka panjang.

“Seiring dengan pelaburan KWSP yang bersifat jangka panjang, keadaan semasa memberi peluang baik kepada kami untuk memanfaatkan aset domestik dan global yang di bawah nilai dan mempunyai asas kukuh,” katanya.

LEAVE A REPLY