KUALA LUMPUR, 11 Mei – TH Dilandasan Pelaburan Yang Betul… Pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) di luar negara terutama dalam sektor hartanah di United Kingdom (UK) adalah strategi mempelbagaikan risiko pelaburan dan ia juga selaras dengan peruntukan strategik pelaburan agensi itu.

Selain itu, pasaran hartanah di UK juga adalah menarik dan sesuai dengan kriteria pelaburan pengurus dana Islam terbesar dunia itu berbanding pasaran domestik yang kompetitif dengan peluang terhad.

Menurut sumber, pasaran hartanah di UK memiliki kecairan tinggi berikutan permintaan yang tinggi daripada pelabur dari seluruh dunia.

Katanya, hartanah di negara terbabit lazimnya mempunyai tempoh pajakan yang panjang dan tidak berubah-ubah, manakala terma pajakan biasanya tidak banyak menimbulkan masalah seperti kos pembaikan dan insurans (FRI) ditanggung oleh penyewa.

“UK juga adalah pasaran matang dan telus yang berdasarkan kepada kerangka perundangan serta pencukaian, dengan disokong baik oleh transaksi dan kewangan Islam,” katanya.

TH memperuntukkan 20 peratus peruntukan pelaburannya untuk portfolio pelaburan hartanah yang mana pada masa ini berjumlah kira-kira 11 peratus.

Daripada jumlah itu, katanya, hartanah luar negara menyumbang hanya enam peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan hartanah agensi pengurusan haji itu.

“Sebagai entiti bertanggungjawab untuk menguruskan dana haji dalam jangka panjang TH terus meninjau peluang yang boleh menyediakan pendapatan terjamin, stabil dan berulang,” katanya.

TH mempertimbangkan untuk melabur di UK sejak 2010 dan kini mempunyai dua hartanah di UK iaitu 10 Queen Street Place, London dan Unilever HQ, Leatherhead, Surrey.

“Dari segi pulangan pelaburan secara keseluruhan, setakat ini kami menikmati kadar pulangan memberangsangkan. Berdasarkan ekuiti dilaburkan, hasil bersih untuk semua hartanah kami adalah lebih tujuh peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata, pembelian bangunan sedia ada dilakukan menerusi penasihat TH, iaitu Gatehouse Bank dan Trowers & Hamlins LLP, yang pakar dalam bidang hartanah dan mempunyai rekod transaksi patuh syariah.

Mengulas laporan media sebelum ini yang menyatakan TH merancang menjual bangunan pejabat di 10 Queen Street Place, katanya, penjualan hartanah itu akan dibuat menerusi proses bidaan, dengan transaksi berdasarkan profil dan jumlah tawaran yang dikemukakan pembida.

Pelaburan hartanah adalah sebahagian daripada aktiviti bisnes TH berdasarkan strategi peruntukan asetnya. Pertimbangan yang diberi untuk penjualan aset hartanah adalah satu proses biasa dalam industri pelaburan hartanah dan tidak terhad kepada hartanah Queen Street Place, London.

“Buat masa ini, tidak ada keputusan muktamad dibuat untuk menjual hartanah terbabit. TH akan mempertimbangkan penjualan hartanah sekiranya tawaran yang diterima memenuhi kriteria dan membawa pulangan yang baik,” katanya.

Pulangan dari penjualan aset pula biasanya bakal digunakan untuk penggantian serentak pelaburan dalam bentuk satu atau lebih bangunan atau hartanah yang berpotensi pada nilai yang sama. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY