SEREMBAN, 1 Okt – Lapor Kepada Kedutaan……Pelajar Malaysia di luar negara diminta melapor diri kepada kedutaan atau pejabat konsulat Malaysia berhampiran, bagi memudahkan pemantauan serta penyaluran bantuan apabila keadaan memerlukan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata tindakan itu tidak diwajibkan dan bukan menjadi peraturan, namun akan memudahkan Wisma Putra mengesan mereka.

“Kita tidak bercadang menjadikan langkah ini peraturan, tetapi kita mahu pelajar di luar negara mempunyai kesedaran sendiri untuk memaklumkan kehadiran mereka.

“Apabila kita mempunyai rekod mereka, Wisma Putra boleh menyalurkan bantuan dengan mudah selain memantau keadaan mereka dalam situasi tertentu termasuk bencana dan krisis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di sini, hari ini. – WD MY

LEAVE A REPLY