MELAKA 17 Nov. – PENJARA….. ┬áPenuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai jenis barangan di pasar raya Aeon Bandaraya di sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Nur Edayu Shamsudin, 23, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, penuntut berkenaan didapati dengan niat curang telah mengambil enam peket Milo, dua unit Nestum, empat unit mi segera Samyang, enam unit Nescafe, empat karton susu F&N, dua unit minyak masak Seri Murni dan dua unit minyak masak cap Buruh berjumlah RM640.72 tanpa membuat pembayaran.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 10.50 pagi di pasar raya Aeon Bandaraya Melaka pada 29 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh yang baru tamat pengajian dalam bidang pelancongan dan perhotelan diwakili Peguam Nik Norhaizun Che Mat.

Mohd. Firdaus menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau dua bulan penjara jika gagal membayar selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – WD MY