Paris, 27 Sept – Hilang……. Norsakinah Naim, 19, pelajar Malaysia di Institute University of Technology (IUT) Roanne di Normandy, Perancis hilang sejak Ahad lalu, bukan Jumaat seperti dilaporkan sebelum ini.

Malah, lokasi pelajar itu dikatakan hilang juga bukan di Paris, tetapi Normandy di utara Perancis, yang terletak kira-kira 140 kilometer dari ibu kota negara itu.

Pelajar tahun pertama jurusan Kejuruteraan Kimia itu dikatakan keluar dari kediamannya pada jam 12 tengah hari waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia) dan disedari hilang oleh rakan serumahnya kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

Pegawai kedutaan Malaysia di Perancis ketika dihubungi berkata, sebaik menyedari kehilangan Norsakinah, rakannya itu terus menghubungi pihak kedutaan sebelum membuat laporan polis di Paris.

“Sejurus laporan polis dibuat, pihak kedutaan terus menghubungi keluarga mangsa bagi memaklumkan mengenai kehilangan Norsakinah.

“Kita juga ada menghantar pegawai ke IUT untuk mendapatkan maklumat daripada pensyarah dan rakan-rakannya di sana. Di sana (Roanne), kita buat satu lagi laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan,” katanya ketika dihubungi media, sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut dan menyerahkan kes itu kepada polis.

“Sebarang perkembangan terkini mengenai kehilangan Norsakinah akan dimaklumkan terus kepada keluarganya,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY