LIKAS, 14 FEB – MATI LEMAS…… Seorang pelajar lelaki lemas ketika mengikuti sesi belajar berenang di kolam renang Kompleks Sukan Likas semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi dan mangsa yang berusia 14 tahun, merupakan antara sekumpulan pelajar bersama guru serta jurulatih dari sebuah sekolah di kawasan Luyang.

Katanya ketika sesi pembelajaran di kolam renang itu, pelajar berkenaan telah didapati lemas dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II pada 12 tengah hari, lalu diberi rawatan dan bantuan pernafasan.

“Pada jam 12.38 tengah hari, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Habibi siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menunjukkan berlakunya sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan punca kematian mangsa.

Katanya bedah siasat telah dibuat terhadap mayat mangsa oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 dan masih belum dapat mengetahui punca kematian sementara menunggu keputusan Toksikologi daripada Jabatan Kimia.

Beliau berkata polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai kes mati mengejut. – WD MY