MELAKA, 4 Mei – Maut….. PELAJAR Tingkatan Empat maut ditimpa dahan pokok ketika menunggang motosikal di Taman Desa Ayer Molek Seksyen 1 di sini, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Mohamad Nor Danial Mohd Khir, 16, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Kelubi, Jasin ke sekolah sebelum kejadian.

Mangsa ditemui berpakaian sekolah dan bertopi keledar.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah lampu isyarat Ayer Molek-Tehel ke bulatan Ayer Molek sebelum dahan pokok berkenaan jatuh di tengah laluan lalu terkena motosikal mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan enam anggota bersama komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Wabil Md Dali dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.37 pagi. – WD MY