BEIJING, 1 Feb – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke Beijing, dijangka memfokuskan perbincangan berkaitan isu keselamatan serantau dan pelaksanaan sistem e-visa.

Timbalan Perdana Menteri yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Capital, jam 10 malam ini, akan membincangkan perkara itu dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri di sini, Gou Sheng Kun, esok.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya, berkata fokus utama lawatan Ahmad Zahid untuk membincangkan pelaksanaan e-visa membabitkan pelancong kedua-dua negara, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, November lalu.

Ia lawatan kerja pertama Ahmad Zahid ke republik ini sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ketika berada di sini, Timbalan Perdana Menteri juga akan bertemu kira-kira 800 penuntut Malaysia di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Malaysia dan China mengekalkan hubungan dua hala yang amat baik terutama dalam bidang kerjasama merangkumi bidang politik, ekonomi dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak tahun 2009, malah Malaysia juga adalah rakan dagang kelapan terbesar China dan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

China adalah sumber import terbesar dan pasaran eksport kedua terbesar Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga November 2015, jumlah dagangan Malaysia dengan China meningkat sebanyak 12 peratus kepada AS$54.38 (RM210.63 bilion) berbanding tempoh sama pada 2014.

Jumlah eksport pula meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada AS$24.02 bilion (RM93.17 bilion), manakala import meningkat 12.3 peratus kepada AS$30.36 bilion (RM117.46 bilion) bagi tempoh sama.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY