KUALA LUMPUR, 30 Okt – MIB…… Kejayaan dan keberhasilan terhadap pelaksanaan Pelan Induk Masyarakat India (MIB) yang bermatlamat meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi komuniti India di negara ini akan dapat disaksikan menerusi Bajet 2018.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata beberapa pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ternyata memberi rangsangan positif untuk pihaknya lebih fokus memastikan setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dalam MIB, dicapai.

Beliau berkata, peningkatan kuota sebanyak tujuh peratus dari segi pembabitan masyarakat India dalam perkhidmatan awam dan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UM), boleh dianggap satu pengumuman besar.

“Inilah apa yang kami perjuangkan sejak sekian lama. Sekarang ini jumlah penjawat awam India hanya sekitar empat hingga 4.2 peratus saja, sama juga pelajar India di UA.

“Dengan peningkatan ini, ia sudah pasti akan membuka peluang kepada masyarakat India terutama dalam kumpulan B40 (berpendapatan rendah) mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik,” katanya.

Katanya, majoriti masyarakat India bekerja dalam bidang perguruan dan kesihatan, dengan penambahan peratusan itu diharap ia dapat memenuhi segenap bidang yang lain termasuk profesional.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat MIC di sini. Yang turut sama hadir, Timbalan Presiden MIC, Datuk SK Devawany serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Subramaniam berkata, menerusi Bajet 2018, turut memfokuskan galakan supaya komuniti India terbabit dalam bidang keusahawanan selain menambah baik infrastruktur pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, menerusi peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Semua tumpuan ini kita telah tetapkan dalam MIB yang sekarang ini pelaksanaanya sudah pun bermula. Boleh saya katakan Bajet 2018 adalah permulaan kepada melakar kejayaan dalam MIB.

“Selepas ini MIC akan mengenalpasti kreteria mereka layak menerima pelbagai bantuan dan insentif diberikan kerajaan dalam Bajet 2018 menerusi senarai penerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malayaia) serta e-kasih,” katanya.

Beliau berkata, Bajet 2018 bukan saja bersifat menyeluruh dengan semua peringkat merasai nikmatnya, malah berupaya meningkatkan ekonomi domestik menerusi insentif pengurangan cukai.

Ditanya sama ada Bajet 2018 satu belanjawan pilihan raya untuk memancing undi masyarakat India, Subramaniam berkata sememangnya tumpuan terhadap komuniti itu tetap diberi perhatian serius kerajaan dalam setiap belanjawan dibentangkan.

“Bajet ini mesra masyarakat India dan banyak yang kami perolehi. Menjadi keutamaan kepada kami untuk memastikan sosioekonomi masyarakat India meningkat,” katanya. – WD MY