KUALA LUMPUR, 27 Jan – Laman sesawang baru iaitu Aladdinstreet.com.my, premium e-pasaran halal dan patuh syariah pertama di dunia dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebentar tadi.

Syarikat tempatan itu memenuhi keperluan bagi produk serta perkhidmatan premium halal dan patuh syariah merangkumi farmaseutikal, fesyen, kosmetik, makanan dan perbankan.

Pasaran perdagangan itu akan menjadi satu-satunya hab bagi produk dan perkhidmatan premium halal dan patuh syariah untuk lebih 1,500 peniaga dengan hampir 30,000 produk dalam talian untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdullah berkata, 60 peratus daripada 30 juta penduduk Malaysia adalah orang Islam.

“Sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara ini mempunyai pengguna Islam yang matang dan permintaan tinggi untuk produk halal.

“Kemasukan Aladdinstreet.com.my ke dalam e-pasaran tepat pada masanya kerana platform ini memberikan perniagaan dan pengilang secara terus kepada e-pasaran halal dan patuh syariah,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah dan Pengasas Bersama Kumpulan Syarikat Aladdin, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Aladdinstreet.com.my adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Syarikat Aladdin, yang beroperasi di lebih 30 negara seluruh dunia.

Penyertaan peniaga dalam Aladdinstreet.com.my yang eksklusif melalui jemputan akan melalui pemeriksaan ketat oleh pasukan petugas integriti perniagaan Aladdinstreet.com.my, terdiri daripada panel pakar antarabangsa mengenai perkara berkaitan halal dan patuh syariah.

Pada majlis sama, Abdullah turut merasmikan pembukaan Ibu Pejabat Global Kumpulan Aladdin. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY