KOTA BHARU, APRIL 17: Manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan yang akan dilancarkan Khamis ini, bersifat menyeluruh serta memberi penekanan kepada semua aspek.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelancarannya akan diadakan secara besar-besaran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, bermula jam 9 malam dan dijangka dihadiri 20,000 penyokong dan jentera parti.

“Ini kali pertama kita melancarkan manifesto secara besar-besaran dan manifesto BN Kelantan bersifat inklusif selain mampu melonjakkan lagi prestasi kita.

“Tumpuan manifesto kita adalah anak muda, hal berkaitan infrastruktur, tanah, wanita dan agama. Kita berharap orang ramai dapat hadir pada majlis pelancaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media BN, di sini, hari ini selepas mengadakan mesyuarat dengan jentera parti.

Mustapa berkata, calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) juga sudah dimuktamadkan dan pihaknya yakin mereka yang terpilih adalah yang terbaik dan diterima rakyat.

“Kita juga menubuhkan jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagi mengatasi masalah jika timbul isu boikot sepanjang PRU kali ini.

“Kita tidak boleh elak perkara berkenaan namun berharap masalah seperti itu tidak berlaku bagi memastikan proses PRU berjalan lancar,” katanya.-MY WD