BATU PAHAT, APRIL 19:TOPI…Sime Darby Plantation Bhd memperkenalkan topi keselamatan generasi baharu untuk pekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Pelancaran topi keselamatan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pembukaan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di sini, hari ini.

Sime Darby Plantation dalam satu kenyataan berkata, prototaip topi keselamatan dibangunkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat itu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Katanya, ia memiliki reka bentuk khas yang memenuhi keperluan iklim panas tropika dan ciri fizikal pekerja Asia yang membentuk sebahagian daripada tenaga kerja industri.

“Antara ciri istimewa prototaip baharu ini termasuk sistem pengudaraan bagi mengurangkan tekanan haba; ia lebih pendek untuk penglihatan lebih baik dan kurangnya tekanan ergonomik ke atas leher; perlindungan tambahan untuk kepala, mata dan muka pekerja; selain memiliki wisel untuk kecemasan,” katanya.

Dengan reka bentuk dan dikilangkan sepenuhnya oleh pakar tempatan, prototaip baharu itu mematuhi standard MS 183:2001 iaitu piawaian standard untuk topi keselamatan industri.

Bagi Sime Darby Plantation, inovasi itu tidak hanya mencerminkan komitmen dan kebanggaan syarikat dalam menyumbang kepada pembangunan serta inovasi industri minyak sawit yang berterusan.

“Yang lebih penting, ia sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membawa industri negara ke peringkat lebih tinggi,” kata Sime Darby Plantation.

Sebagai syarikat perladangan bersepadu, Sime Darby Plantation mengalu-alukan kerjasama dan pembabitan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya generasi muda dengan membawa idea lebih inovatif yang dapat memajukan industri sawit negara ke arah kecemerlangan lebih tinggi.-MY WD