MELAKA, 3 Nov – JATUH….. Pelancong warga Australia, ditemui terjatuh dari bilik hotelnya di tingkat satu, di Jalan Bunga Raya pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa berusia 20-an terselamat apabila hanya terjatuh di atas bumbung bangunan rumah kedai itu, pada ketinggian kira-kira 1.2 meter.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Razali Che Are, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.19 pagi, sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

KERJA-KERJA menurunkan mangsa yang ditemui terjatuh dari bilik hotelnya di tingkat satu, di Jalan Bunga Raya, Melaka, pagi tadi. – Foto Muhammaz Zuhairi Zuber

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 20-an terbaring di atas bumbung bangunan hotel berkenaan.

“Difahamkan, lelaki itu sedang bercuti bersama temannya dan dipercayai terjatuh dari tingkap bilik hotelnya di tingkat satu. Kerja menurunkan mangsa yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol mengambil tempoh kira-kira 10 minit oleh Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. – WD MY