SUBANG JAYA, 28 Jun – Cedera……. Sekurang-kurangnya enam pengunjung sebuah pusat hiburan di Bandar Puchong Jaya dekat sini, cedera selepas premis itu dibaling bahan letupan dipercayai bom petrol, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, lebih 20 pengunjung dikatakan sedang leka menonton perlawanan bola sepak pertandingan EURO 2016 antara pasukan Itali dan Sepanyol di ruang tempat duduk di bahagian luar premis terbabit.

Seorang pekerja di situ yang enggan dikenali mendakwa melihat dua lelaki yang tidak dikenali membaling objek dipercayai bom petrol sebelum terdengar beberapa bunyi letupan.

Katanya, akibat daripada serangan itu, sekurang-kurangnya enam pengunjung termasuk wanita mengalami kecederaan dan selebihnya bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Semua yang cedera kemudian dikejarkan ke sebuah pusat perubatan berhampiran selepas dipercayai terkena serpihan kaca dan impak letupan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan berapa jumlah sebenar pengunjung yang cedera serta motif serangan kerana belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian itu.

Sepasukan anggota polis forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan kira-kira jam 4 pagi tadi. – WD MY

LEAVE A REPLY