KUALA LUMPUR, 19 SEPT – LANTIK….. Ketua Databank DNA Makmal Forensik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri, berkuat kuasa 21 Oktober ini.

Hussein yang akan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP), antara tujuh pegawai kanan polis yang terbabit dengan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad, memaklumkan semua pelantikan dan pertukaran itu berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Enam lagi pegawai yang terbabit ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kedah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Dr Zainal Abidin Sabtu yang bertukar sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Pertukaran itu turut membabitkan Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, Asisten Komisioner (ACP) Paul Khiu Khon Chiang.

“Beliau dilantik sebagai Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan memangku pangkat SAC,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Zundin Mahmood pula dilantik sebagai Ketua JPJKK Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC.

Timbalan Ketua JSJ Risikan/Operasi Pahang, Superintendan Mohd Yusri Othman akan mengambil alih tempat Zundin sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Negeri Sembilan, Deputi Superintendan (DSP) Amran Mohd Gani dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Pilah dengan memangku pangkat Superintendan.

Pegawai Bahagian Latihan Bukit Aman, DSP Zulkifli Mahmood pula dilantik sebagai Komandan Pusat Latihan Marin, Tampoi. – WD MY