Pelantikan Eric dipertikai sebagai wakil hak asasi manusia di Malaysia

Pelantikan Eric dipertikai sebagai wakil hak asasi manusia di Malaysia

483
0

KUALA LUMPUR, JAN 15: PERLANTIKAN ERIC….Pergerakan Pemuda UMNO mempertikaikan pelantikan Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty, Eric Paulsen sebagai wakil baharu Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi penggal 2019-2021.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah itu dianggap tidak bertepatan dengan sikap Eric yang anti Islam di negara ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Eric merupakan individu yang terkenal menghina Islam dan institusi Islam dalam laman Twitter serta dalam laman media sosialnya yang lain.

Katanya, melantik seseorang yang banyak menghina, mengkritik dan memperlekeh institusi dan dasar Islam sewaktu kerajaan terdahulu hanya akan memesongkan pandangan dunia terhadap prinsip Malaysia dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia.

“Ini juga menyerlahkan sikap sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang semakin jelas mahu membawa negara ke arah acuan fahaman hak kebebasan dan hak asasi manusia yang dikehendaki negara Barat.

“Ini sekali gus bertentangan dengan acuan tempatan dan prinsip agama dan adat budaya nusantara yang selama ini melatari kekuatan negara Malaysia yang unik dan istimewa berpandukan neraca Perlembagaan Persekutuan.

“Apa sebenarnya agenda kerajaan PH? Apakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih boleh diharap menjadi pembela Islam dan Melayu dalam PH?,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke dalam Facebook miliknya, di sini semalam.

Kenyataan Asyraf Wajdi itu turut menerima sokongan daripada warganet yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan pelantikan Eric sebagai wakil Malaysia untuk hak asasi manusia.

Mereka turut menggambarkan imej negara ini akan tercemar berikutan pelantikan Eric selain meramalkan kerajaan PH kini sedang merancang untuk meruntuhkan institusi negara.-MY WD