SHEBAA (LUBNAN), 19 April – PULANG….. Kira-kira 500 pelarian Syria meninggalkan selatan Lubnan hari ini di bawah perjanjian damai membabitkan pihak berkuasa di Beirut dan Damsyik yang membantu mereka pulang semula ke negara asal.

Menurut Suruhanjaya Tinggi untuk Pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNHCR), mereka dimaklumkan mengenai kepulangan itu tetapi tidak terbabit dalam perkara perjanjian berkenaan selepas mengambil kira pencabulan hak asasi dan situasi keselamatan di Syria.

Sebanyak 15 buah bas telah digunakan oleh kerajaan Syria untuk membawa pulang pelarian dari pekan Sheeba di selatan Lubnan di sini.

Mereka diiringi oleh pasukan keselamatan Lubnan yang terdapat di sepanjang semapadan negara berkenaan.

Pekan Sheeba sebelum ini menjadi kediaman kira-kira 500 pelarian Syria yang lari meninggalkan negara asal mereka susulan perang sivil selama tujuh tahun di negara itu.

Agensi berita rasmi Lubnan berkata, operasi penghantaran pulang pelarian itu dilakukan dengan kerjasama pasukan keselamatan, berdasarkan senarai nama diperoleh lebih awal.

Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan, kesemua pelarian itu akan pulang ke kampung masing-masing di Beit Jin dan wilayah sekitar di barat daya Damsyik. – WD  MY