KUALA LUMPUR, 7 Julai – BINCANG….. Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada Isnin ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat berkenaan medan terbaik bagi pemimpin tertinggi membincangkan kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU.

“Kita akan adakan mesyuarat PH dan sudah tentu ia adalah ruang terbaik bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cadangan terbaru dibuat Perdana Menteri.

“Dan perkara ini tentu akan digunakan (Tun Dr Mahathir) untuk memberikan penjelasan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran Tabung Endowmen Universiti Malaya (UMEF) malam tadi.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir yang berkata semua parti politik Melayu, termasuk UMNO dipelawa untuk menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik Melayu.

Dr Mahathir menggesa semua pihak supaya tidak menyekat keinginan individu yang mahu menyertai BERSATU. – WD MY