KUALA LUMPUR, 1 Feb – Kejayaan……. Pihak Kementerian Wilayah Persekutuan akan
mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan beban warga Wilayah
Persekutuan, kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
┬áBeliau berkata tumpuan diberi bagi penganjuran program-program “touch
point” berbentuk kemasyarakatan dan komuniti akrab.

“Antara program dengan penyerapan “feel good factor” yang dilaksanakan
antaranya ialah program Kenduri 1Wilayah di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan
sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 berkonsepkan turun padang,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika diperkenan mengadap dan membaca laporan
mengenai perkembangan di Wilayah Persekutuan pada Istiadat Pengurniaan Darjah
Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah
Persekutuan 2017 di Istana Negara, di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata fokus turut diberi dalam isu perumahan dengan
mewujudkan inisiatif Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi
memastikan warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri.

“Wilayah Persekutuan beriltizam untuk terus menjadi peneraju demi menjayakan
pelbagai Projek dan Program Aku Janji Rakyat termasuk inisiatif memastikan
warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri melalui RUMAWIP,” katanya.

Bagi mengurangkan kemiskinan bandar, Tengku Adnan berkata kementerian telah
mewujudkan kad ceria Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan diskaun untuk barangan
tertentu.
Di samping itu, Tengku Adnan berkata segala cukai berkaitan penyelenggaraan
Kementerian Wilayah Persekutuan juga tidak dinaikkan untuk tiga tahun selain
pemberian subsidi melibatkan kos pengangkutan serta kos penyelenggaraan
perumahan awam dan rakyat.
Katanya, satu inisiatif baharu turut dilaksanakan iaitu perkhidmatan bas
sekolah secara percuma kepada anak-anak penghuni Perumahan Rakyat dan Awam di
sekitar ibu kota.
Menyentuh perkembangan di Wilayah Persekutuan Labuan, Tengku Adnan berkata
satu Blueprint Pembangunan turut disediakan dengan tumpuan untuk
mentransformasikan Labuan sebagai pusat pelancongan dan perniagaan yang berdaya
saing. – WD MY