KUALA LUMPUR, 22 Nov – Pelbagai Isu…… Isu serangan bekas pemimpin UMNO terhadap
kepimpinan parti dan kerajaan antara topik yang dijangka mendapat perhatian
dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016 hujung bulan ini.
Bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,
persediaan dan kesediaan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14)
juga dijangka disentuh sepanjang perhimpunan dari 29 Nov hingga 3 Dis ini.
 “Antaranya isu bekas pemimpin yang sanggup memburukkan institusi yang
dulu mereka naungi.
“(Bekas pemimpin UMNO) pernah berucap agar mempertahankan institusi (UMNO)
tetapi sekarang ceritanya lain pula,” katanya pada taklimat media mengenai
Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini hari ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu kerjasama UMNO dan PAS akan turut
dibawa oleh anggota perwakilan dan menyifatkan sebarang keputusan berhubung
kerjasama antara kedua-dua parti itu akan dibuat selepas mendengar suara
perwakilan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun
Razak dijadual menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan tambahan UMNO selepas
menyampaikan amanat dalam taklimat presiden yang dijadual pada 29 Nov.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual
merasmikan serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan
Puteri pada sebelah malam, katanya.
“Berbeza dari tahun lepas di mana perhimpunan agung ketiga-tiga sayap
dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing, tahun ini mereka minta timbalan
perdana menteri untuk merasmikan serentak perhimpunan mereka,” katanya.
Tengku Adnan berkata sebanyak 5,732 anggota perwakilan akan menghadiri
perhimpunan kali ini.
Selain itu, katanya 44 peserta daripada 12 parti politik dari 10 negara
telah mengesahkan kehadiran mereka untuk mengikuti perhimpunan tahunan ini.
“Seramai 300 mahasiswa daripada 240 universiti awam dan 60 universiti swasta
akan terlibat dalam perhimpunan ini atas nama Mahasiswa Nasional (Pemanas),”
katanya.
Selain itu sebanyak 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga
agensi antarabangsa akan membuat liputan pada perhimpunan kali ini.  – WD MY