PELUANG SKUAD MALAYSIA MENENTANG KYRGZSTAN

PELUANG SKUAD MALAYSIA MENENTANG KYRGZSTAN

383
0

JAKARTA, OGOS 15: PELUANG…Skuad bawah 23 tahun negara harus memanfaatkan setiap peluang dengan sebaiknya ketika menentang Kyrgyzstan andai mahu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pembukaan bola sepak Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung esok.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan Kumpulan E itu, tambahan pula Malaysia dan Kyrgyzstan sudah lama tidak bertemu sekali gus masing-masing sukar membaca rentak yang bakal digunakan lawan.

Ketua jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee berkata, bagi memastikan setiap peluang dimanfaat dengan baik dalam perlawanan tersebut maka hanya yang terbaik akan diturunkan esok.

“Perlawanan menentang Kyrgyzstan cukup penting buat kami dan saya akan menurunkan ke­sebelasan terbaik kerana sedar harapan yang dipikul untuk me­raih keputusan positif.

“Secara peribadi, saya menjangkakan Kyrgyzsan akan beri tentangan sengit dalam perlawanan pertama ini,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Bandung Lautan Api, dekat sini hari ini.

Skuad muda negara hadir ke Indonesia dengan semangat tinggi terutama selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam dalam perlawanan persahabatan terakhir minggu lalu.

Skuad bola sepak meletakkan sasaran mara ke suku akhir Sukan Asia 2018.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam kempen Sukan Asia adalah meraih pingat gangsa ketika temasya berlangsung di Jakarta pada 1962 dan 1974 di Tehran.-MY WD