LONDON, 3 Dis – Umum Persaraan…….Nico Rosberg mengejutkan Formula Satu (F1) dengan pengumuman mengejutkannya untuk bersara, hanya beberapa hari selepas menjulang kejuaraan dunia pertamanya bersama Mercedes.

“Daripada saat itu apabila takdir berada di tangan saya, tekanan besar pun bermula dan saya mula memikirkan untuk mengakhiri karier perlumbaan jika muncul juara dunia.

“Pada pagi Ahad di Abu Dhabi, saya tahu ia bakal menjadi perlumbaan terakhir dan perasaan itu ketara sebelum perlumbaan bermula. Saya mahu menikmati setiap detik pengalaman itu dengan mengetahui ia berkemungkinan kali terakhir.

“Saya membuat keputusan pada petang Isnin,” kata pemandu Jerman itu di laman sosial Facebook.

Pemandu berusia 31 tahun itu menyembunyikan hasratnya sebelum ini dan turut berada di kilang pasukan di Brackley pada Khamis selepas kunjungan ke tempat kelahirannya di Jerman, Wiesbaden.

Rosberg, yang dijadual menghadiri majlis penyerahan hadiah Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) di Vienna pada awal pagi ini di Vienna bersama rakan sepasukannya dan juga juara dunia sebanyak tiga kali, Lewis Hamilton, bagaimanapun tidak menyatakan perancangannya selepas ini.

Beliau mengakhiri kariernya dengan rekod 23 kemenangan daripada 206 perlumbaan dan mengikut jejak langkah ayahnya, Keke, yang menjuarai perlumbaan pada 1982.

“Sejak 25 tahun berlumba, ia adalah impian saya, ‘satu-satunya perkara’ adalah untuk muncul Juara Dunia Formula Satu. Menerusi kerja keras, kesakitan, pengorbanan, ini menjadi sasaran saya…dan kini saya sudah melakukannya,” katanya.

Rosberg membantu Mercedes untuk muncul pasukan paling kuat dominasi dalam sukan itu dengan 19 kemenangan dalam 21 perlumbaan musim ini.

Mereka memenangi gelaran pemandu serta pengeluar terbaik sejak tiga tahun berturut-turut dan diletakkan sebagai pasukan pilihan sekali lagi pada musim depan meskipun berdepan beberapa perubahan peraturan.

Bos pasukan Mercedes, Toto Wolff memuji “tindakan berani” pemandu itu dan berkata, ia adalah “bukti kepada kekuatan karektornya”.

“Penilaiannya yang jelas bermakna saya menerima keputusannya secara terus apabila dia memberitahu kepada saya,” kata Wolff yang masih memerlukan masa untuk menilai pilihan mereka selepas ini. – WD MY