KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pemain Skuasy wanita nombor dua negara,
Low Wee Wern mara ke suku akhir kejohanan terbuka Windy City 2015 selepas
bertarung dalam lima set di Chicago, Amerika Syarikat, pada Ahad.

Pemain berasal dari Pulau Pinang berusia 24 tahun itu mengalahkan pemain
veteran Rachael Grinham dari Australia, 7-11, 11-2, 3-11, 11-9 dan 11-6 dalam
perlawanan panjang lima set yang berlangsung 58 minit.

Wee Wern akan menemani Ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang berjaya
menempah tempat ke suku akhir setelah mudah menewaskan pemain Mesir, Heba El
Torky 11-5, 11-4 dan 11-7 dalam tempoh 27 minit, pada Sabtu.

“Saya gembira berjaya merangkul kemenangan 3-2 terhadap Rachael Grinham hari
ini! Rachael bermain dengan baik dan saya terpaksa bertahan sehingga akhir
perlawanan.

“Akan menentang Raneem Weleily el dalam perlawanan suku akhir! dua pemain
Malaysia di peringkat suku akhir!,” kata Wee Wern dipetik dalam laman sosial
Facebook beliau.

Pilihan kedua kejohanan Raneem El Welily dari Mesir menewaskan rakan
senegaranya Omneya Abdel Kawy 11-7, 7-11, 11-9 dan 11-8 untuk menempah tempat ke
suku akhir.- Bernama

LEAVE A REPLY