HULU SELANGOR, 29 Jun -Maut…. Pemandu bas ekspres dan seorang penumpang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 422.5, Lebuhraya PLUS arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kangar ke Johor Bahru, dilaporkan gagal dikawal sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan di laluan antara Bukit Tagar ke Bukit Beruntung.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata dalam kemalangan itu, 24 lagi penumpang terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Setakat ini, pemandu bas yang maut dikenali sebagai Arasu Muniandy berusia 44 tahun dan seorang penumpang warga Indonesia dikenali sebagai Masenah, 46 tahun.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini, termasuk mengambil kira faktor kemungkinan laluan gelap atau pemandu keletihan,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Kemalangan berkenaan mengakibatkan aliran trafik menuju ke arah ibu negara bergerak perlahan sejauh dua kilometer, selepas hanya satu dari tiga lorong di laluan berkenaan dibuka untuk digunakan. – WD MY