GUA MUSANG, 11 Julai – Mengaku Tidak Bersalah…..Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian tujuh sekeluarga dalam kemalangan di KM 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, A Deniyal, 24, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Deniyal didakwa memandu lori dengan melulu sehingga menyebabkan kematian tujuh orang yang berada dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi dengan no pendaftaraan W6997A, kira-kira jam 1.20 pagi, pada 4 Julai lalu.

Tujuh yang terkorban, Munira Ahmad Latfi, 29; suaminya, Norazami Mahat, 37; anak mereka Rifqi Najwaan, satu bulan dan Raudahatul Syazwina, 4 tahun.

Yang turut maut, kembar kepada Munira iaitu Mursyida, 29; suaminya, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, dan anak mereka, Nur Hana Jannati, lima tahun.

Deniyal didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Majistret Mohd Faiz Omar memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM6,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh sebutan kes pada 15 Ogos depan.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor G Gopinath memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu. – WD MY

LEAVE A REPLY