KUALA LUMPUR, NOVEMBER 5: TEKSI… Pemandu teksi akan mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen Khamis ini sekiranya dalam masa terdekat masih belum dibenarkan bertemu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, perhimpunan aman itu dijangka akan disertai 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

Menurutnya, perhimpunan itu tidak akan bersurai selagi tidak dapat bertemu dengan Menteri atau Timbalan Menteri Pengangkutan.

“Kita tidak mahu bertemu setiausaha politik atau mana-mana pegawai kementerian.

“Walau bagaimanapun perhimpunan ini adalah jalan terakhir sekiranya dalam tempoh terdekat ini (sebelum Khamis) kami masih gagal untuk bertemu Menteri.

“Sekarang nak hubungi setiausaha politik Menteri pun dah tak dapat, dia tak angkat call (panggilan),” katanya ketika sidang media di pejabatnya hari ini.

Shamsubahrin berkata, pertemuan dengan menteri adalah untuk berbincang secara harmoti tentang hala tuju industri teksi.

“Saya memang belum dan tidak akan memohon permit daripada polis untuk mengadakan perhimpunan aman ini dan bersedia sekiranya dikenakan tindakan.

“Bukan untuk mencabar polis, tetapi apa yang akan lakukan ini adalah untuk memperjuangkan hak dan nasib pemandu teksi, perhimpunan itu akan berjalan dengan aman.

“Perhimpunan akan bermula jam 8 pagi di Padang Merbok dan akan berjalan ke bangunan Parlimen,” katanya.

Shamsubahrin menegaskan bahawa persatuan teksi tidak pernah meminta kerajaan untuk menghapuskan Grab.

“Jangan putar belit kata-kata pemandu teksi, kami bukan mahu Grab dihapuskan, kami cuma mahu pemandu Grab atau e-hailing disamaratakan dari segi harga yang dikawal kerajaan.

“Dan sekiranya kerajaan tidak boleh meletakkan garis panduan atau penguatkuasaan seperi itu, Grab dan e-hailing harus ditutup,” katanya.-MY WD