PUTRAJAYA, OKTOBER 17: PEMANDU TEKSI…Seperti dijanjikan, sekumpulan pemandu teksi berhimpun di depan pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini bagi membantah rancangan menjadikan Grab sebagai kenderaan pengantara di stesen MRT.

Mereka menuntut untuk bersemuka dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam tempoh 24 jam.

Wakil menteri, setiausaha bahagian komunikasi korporat kementerian Suhaili Ahmad, turut hadir bertemu kumpulan itu.

Penganjur perhimpunan Shamsubahrin Ismail, yang juga pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, turut kelihatan meminta alamat e-mel untuk menghantar surat rasmi permohonan bertemu Lim.

Shamsubahrin kemudian terus menghantar undangan itu.

“Saya sudah hantar surat khas kepada menteri supaya pertemuan boleh diadakan dalam tempoh 24 jam susulan isu yang ditimbulkan (setiausaha politik menteri) Tony Pua,” katanya.-MY WD