KUALA LUMPUR, 9 Jan – Berubah….. Pemandu teksi di negara ini diberi pilihan menerima perubahan teknologi aplikasi atas talian dan mengubah kaedah pemasaran dengan pelanggan untuk kekal relevan dalam industri kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri berkata golongan ini perlu bersaing dengan kepantasan teknologi dan tidak boleh menyalahkan pihak lain yang menawarkan kemudahan lebih baik kepada pengguna.

Mengambil contoh kecekapan perkhidmatan aplikasi atas talian, Uber dan Grab, Nazri berkata, kerajaan membenarkan perkhidmatan operasi Uber dan Grab Car kerana kebanyakan pelancong luar negara menggunakan aplikasi itu.

“Malaysia, khususnya Kuala Lumpur tidak boleh ketinggalan menawarkan perkhidmatan Uber dan Grab, yang popular digunakan di negara lain ..kita tidak mahu ada pelancong merungut ditipu bila datang ke Malaysia.

“Kalau pemandu teksi tidak gembira, malang sekali. Pemandu teksi kena ada aplikasi atas talian mereka sendiri untuk terus bersaing …kalau tidak setuju (berubah), mereka akan ketinggalan di belakang,” kata Nazri petang semalam.

Nazri berkata, Malaysia menyediakan platform perkhidmatan operasi yang diperlukan rakyat dan pelancong seperti yang berlaku di negara jiran, Thailand dan Indonesia.

“Kalau pelancong ke Bangkok dan Jakarta, mereka akan gunakan perkhidmatan Uber atau Grab untuk bergerak dari satu-satu tempat,” katanya. – WD MY