BANTING, 12 Feb – RENTUNG……. Lelaki rentung selepas treler dipandunya terbabas lalu terbakar dalam kemalangan di Lebuhraya ELITE susur masuk ke Saujana Putra dari arah Putrajaya, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.56 pagi itu, mangsa, Norhisam Sahuri, 37, dipercayai memandu treler yang membawa muatan serbuk polimer.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri berkata, kebakaran hanya membabitkan bahagian hadapan treler.

‎”Seramai 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan Teluk Panglima Garang dikerahkan ke tempat kejadian selepas panggilan kecemasan diterima.

‎”Ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak di bahagian kepala treler berkenaan, ” katanya.

‎Alimaddia berkata, selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, kerja pembersihan tumpahan minyak dan sisa kemalangan dilakukan.

‎Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya. – WD MY