KUALA LUMPUR, 27 April – Pembangkang….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang memang selalu membuat pusingan U dan membuat janji yang tidak perlu dibuktikan dengan fakta.

Najib berkata, pusingan U oleh pembangkang ini adalah perkara biasa bagi mereka malah sudah pun membuat tiga kali pusingan U untuk isu yang sama.

Katanya, pembangkang tidak berpijak pada bumi yang nyata atau pada realiti sebenar.

“Kalau mereka (pembangkang) hendak janji sesuatu mereka janjikan atas sesuatu yang mana mereka tidak perlu bukti fakta sebenarnya.

“Mereka cakap apa yang mereka suka asalnya yang dicakapkan itu menyedapkan orang mendengarnya.

“Pembangkang hanya bercakap kerana pilihan raya… untuk kejar sokongan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, malam tadi.

Tindakan pembangkang yang kini mahu melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika menang pilihan raya akan datang.

Baru-baru ini Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui akan meneruskan GST dengan mengenakan sifar cukai jika menang pilihan raya umum ke-14.

Sebaliknya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan Pakatan Harapan berhasrat menghapuskan GST manakala Penasihat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan GST tidak akan dihapuskan kerana itu menyebabkan masalah kepada pembiayaan kerajaan.

Sementara itu, menyentuh intipati Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Najib berkata tumpuan utama adalah usaha menjayakan perhimpunan raksasa sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Mei ini.

“Kita jangkakan 100,000 penyokong lautan merah membanjiri Bukit Jalil. Pada 11 Mei adalah malam Nisfu Syaban, program dirancangkan sedikit berbeza dengan program keagamaan ceramah agama, bacaan Yasin dan solat isyak berjemaah,” katanya. – WD MY