KUALA KETIL, 18 Jan – Bercanggah……. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan percanggahan pendapat antara pemimpin parti pembangkang
dalam pelbagai perkara yang jelas menunjukkan betapa mereka tidak mempunyai
prinsip istiqamah dan konsisten.
Memberi contoh isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), perdana menteri berkata
pemimpin parti pembangkang memberikan kenyataan yang jelas berbeza-beza mengenai
perkara itu.

“Wan Azizah (Presiden PKR) kata sokong BR1M, Azmin Ali (Menteri Besar
Selangor) tak sokong, Tun Dr Mahathir pula kata BR1M rasuah. Lepas itu cakap
pula nak kekalkan BR1M. Jadi di mana letaknya prinsip istiqamah dan konsisten,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Sepetang Bersama Rakyat
di Padang Awam Kuala Ketil semalam yang dihadiri lebih 23,000 penduduk
kawasan Parlimen Baling.
Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan
Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mengenai Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil, Najib berjanji akan
memberikan kelulusan untuk kolej itu dinaik taraf sebagai universiti penuh
sekiranya kesemua syarat sudah dipenuhi.
“Kita kena pentingkan kualiti, jangan pula kita hendakkan ijazah tapi tiada
kualiti. Baik kita buat pelaburan untuk tingkatkan lagi kualiti,” katanya.
Keseriusan kerajaan negeri untuk menaik taraf status KUIN sebagai universiti
penuh, bermula November tahun lalu, apabila mesyuarat Lembaga
Pengarah KUIN dipengerusikan Ahmad Bashah sendiri di Wisma Darul Aman.

Najib berkata majlis pecah tanah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di
daerah Baling juga akan dilaksanakan tidak lama lagi. – WD MY